Masala Wheels Bantu Golongan Memerlukan Raih Pendapatan

KUALA LUMPUR, 21 Dis (Bernama) — Masala Wheels, syarikat yang menjalankan perniagaan trak makanan (food truck) dilancarkan dengan menumpukan usaha membantu golongan yang memerlukan memperoleh pendapatan tetap.

Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar berkata, ianya bukan sahaja membantu meraih pendapatan malah sebahagian daripada keuntungan jualan mereka akan disalurkan kepada golongan gelandangan dan mereka yang memerlukan.

“Bagi saya, konsep perniagaan yang dijalankan ini merupakan langkah bijak dalam usaha membantu golongan kurang bernasib baik meningkatkan taraf hidup.

Dengan adanya perniagaan yang berkonsepkan ‘Social Enterprise’ seperti ini dapat mengurangkan masalah kemiskinan yang membelenggu masyarakat terutama bagi ibu tunggal apabila diberi peluang untuk menjual produk makanan hasil tangan mereka,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Pengasas Bersama Masala Wheels, Kuhan Pathy berkata, Masala Wheels adalah perniagaan yang menjual makanan yang disediakan di rumah, serendah RM5.

SERENDAH RM5

Beliau berkata, orang ramai yang bekerja atau berada di sekitar Kuala Lumpur City Centre (KLCC) berpeluang mendapatkan makanan yang ditawarkan dengan harga serendah RM5 ini.

“Lokasi ini menjadi pilihan untuk kami menjalankan aktiviti perniagaan kerana kami memahami keperluan masyarakat sekitar sini yang sukar untuk mendapatkan makanan dengan harga berpatutan,” kata Kuhan.

Selain itu, katanya antara menu yang popular dan menjadi pilihan pembeli adalah nasi lemak.

Tambahnya, Masala Wheels juga menawarkan perkhidmatan latihan perniagaan trak makanan kepada orang awam terutama generasi muda.

“Kami juga membantu generasi muda yang tidak bekerja dengan melatih mereka untuk membuka dan menguruskan perniagaan.

Sekurang-kurangnya mereka tidak membuang masa dengan aktiviti tidak berfaedah di samping dapat meningkatkan kualiti hidup,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.